Pertembungan calon bersaudara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi Parlimen Besut (P033) menarik perhatian pengundi khususnya penyokong parti yang bertanding.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman bakal berdepan sepupunya, mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Che Ku Hashim Che Ku Mat.
Manakala calon Parlimen Besut, Dato' Seri Idris Jusoh (BN) akan bertemu dua sepupunya, Dato' Ir Wan Nazri Wan Jusoh (PKR).
Bagi calon PKR DUN Jertih, Dato' Dr Kamaruzzaman Wan Su pula adalah dua sepupu kepada Tengku Roslan Tengku Othman juga dari PKR yang bertanding bagi merebut kerusi DUN Kota Putera.
Bagi Tengku Zaihan, pertembungan kekeluargaan itu adalah satu fenomena yang baru berlaku dalam Parlimen Besut sekaligus menjadikan pilihan raya ke 14 ini sejarah bagi parlimen berkenaan.
"Malah, calon PKR yang bertanding bagi kerusi Parlimen Besut itu adalah ketua saya ketika bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2013," katanya.
Menurut Tengku Zaihan, dia tidak berasa janggal untuk berdepan dengan sepupunya, kerana sangat mengenali Che Ku Hashim.
"Kami hanya berlainan fahaman politik tetapi dalam keluarga kami tidak ada masalah malah hubungan kekeluargaan kami sangat rapat," katanya yang ditemui selepas penamaan calon di Besut, hari ini.
Menurut Tengku Zaihan, dia yakin kehadiran sepupu yang dianggap sebagai abang pada PRU14 ini tidak memberi kesan dan yakin mampu menang bagi mengekalkan kerusi yang disandangnya sejak memenangi PRK 2013 lalu.
Tambahnya, sokongan kuat daripada keluarga Che Ku Hashim memberi lebih keyakinan kepada beliau untuk mengekalkan kerusi berkenaan.
"Sebenarnya dia sudah lama cenderung dalam politik iaitu sejak tahun 1985 lagi. Ketika itu dia adalah ahli BN dan mengambil keputusan keluar parti bagi menyertai Pas pada tahun.
"Kecewa dengan perjuangan Pas selepas kematian Presiden Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, dia membuat keputusan meninggalkan parti itu dan menumpukan perhatian terhadap kerjayanya sebagai seorang doktor dan memiliki klinik sendiri di Pasir Putih, Kelantan," katanya.