Idris |
Oleh: Ezzuan Ahmad
Protes yang berlaku pada segelintir ahli UMNO pada pengumuman calon untuk bertanding dalam pilihan raya adalah perkara kecil dan biasa berlaku di mana-mana.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Idris Jusoh berkata, situasi sedemikian sudah dijangka akan berlaku pada setiap kali pengumuman calon.
Katanya, ini adalah kerana masing - masing mempunyai calon yang dikehendaki. Pun begitu, beliau menegaskan bahawa ianya tidak sama sekali akan menjejaskan parti dalam menuju pada matlamat yang satu iaitu untuk menang dalam pilihan raya.
"Perkara ini sudah lama berlaku namun ianya tidak akan berpanjangan dan ahli sendiri tahu ianya akan merugikan parti sekiranya berpanjangan,"katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Kolej Komuniti Cawangan Dungun di Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah (AMBS), Dungun, petang tadi.
Idris berkata, perkara sebegitu bukan sahaja terjadi di negeri ini tetapi ianya berlaku di negeri-negeri lain juga namun ianya dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
"Pilihan calon yang dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti merupakan satu keputusan yang terbaik dan semua ahli parti dapat menerimanya meskipun berlaku sedikit salah faham," katanya.
Tambah beliau, meskipun berlaku sedikit perbalahan, ianya tidak seperti parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sehingga sekarang tidak boleh menyelesaikan sengketa dalam parti sehingga berlarutan untuk yang panjang.
"Cuba kita lihat PKR Selangor, sehingga sekarang mereka tidak boleh duduk semeja dan ini menunjukkan mereka hanya berjuang untuk diri sendiri dan bukannya untuk parti.
"Keadaan salah faham di kalangan kita (BN) sudah pun reda dan masing-masing (ahli ) sedang menjalankan tanggungjawab untuk memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya ini," katanya.
Apabila ditanya berkenaan pencalonan orang lama seperti beliau dan Dato' Seri Ahmad Said, Idris berkata, pemilihan yang dibuat oleh Menteri Besar dan pucuk pimpinan parti itu satu keputusan terbaik yang mengambil kira pelbagai faktor dalam menjamin kemenangan BN pada pilihan raya ini.