Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat sekali lagi diberi amanah untuk mempertahankan kubu Barisan Nasional (BN) di DUN itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Katanya, BN akan mengekalkan kemenangan pada PRU14 selain menambah undi dengan mensasarkan majoriti 7,864 walaupun sasaran itu bukannya satu kerja yang mudah.
"Jika ingin mencapai sasaran 7,864 majoriti semua pihak perlu fokus dengan apa yang di inginkan untuk mencapai kemenangan dengan gerak kerja dan komitmen jentera parti bagi mengekalkan kemenangan besar di kawasan tersebut yang telah bermula sejak PRU13 lagi.
"Kita sudah buat yang terbaik untuk pengundi kali pertama di DUN Telemong dan pengundi luar yang perlu dijaga bagi memastikan undi mereka adalah untuk BN dengan pelbagai program yang telah dilaksanakan bersama mereka setiap tahun," katanya.
Tambahnya lagi, semua pihak di Cawangan perlu menggarap usaha bersama bagi memastikan pengundi DUN itu tidak berganjak kepada parti lain selain BN walau apapun yang melanda.
"Namun saya tidak pandang ringan kepada calon pembangkang yang merupakan rakan sekampung tetapi saya yakin dengan kekuatan jentera yang ada bahawa BN tetap menguasai dengan semangat yang ada ..Telemong tetap menang.
"Perancangan yang telah dibuat akan tetap diteruskan melalui Kerajaan BN termasuk pembangunan untuk penduduk setempat dan memastikan DUN Telemong tidak lagi ketinggalan dalam banyak aspek," katanya lagi.
Rozi, 47, berasal dari Kampung Chapu menjadi ADUN Telemong sejak memenangi PRU12 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU13.
Pada PRU13 lalu, Rozi mendapat 10,262 undi dengan majoriti 6,864 undi mengalahkan calon PKR, Narawi Embong yang memperoleh 3,398 undi.