PRU14 : Tiada Kawasan 'Panas' Di Dungun



Oleh : Ezzuan Ahmad

Khabar angin yang menyatakan Dungun antara lokasi dijangka panas dan berisiko berlaku kekecohan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah tidak benar sama sekali.

Bagi calon kerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen P039, Dato' Din Adam berkata,  ia hanya sekadar tanggapan semata-mata kerana terbukti tiada sebarang insiden buruk yang terjadi sepanjang proses penamaan calon hari ini.

"Isu kerusi panas atau kawasan berisiko berlaku kekecohan tidak akan berlaku kerana semua pihak sudah bersepakat.

"Kita nafikan Dungun adalah lokasi panas yang akan menimbulkan kekecohan ketika proses PRU berlangsung " katanya.

Beliau mengulas demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Pejabat Daerah Dungun, hari ini.

Din menyeru dan meminta penyokong BN dan UMNO supaya jangan menimbulkan gangguan kepada parti lawan, begitu juga pembangkang juga diminta tidak melakukan sebarang provokasi terhadap BN.

"Kita bukan nak berkelahi dan jangan memburuk-burukkan sesama calon sebaliknya tonjolkan kemampuan masing-masing.

"Pimpinan Parti juga akan memerhati supaya semua jentera  mengamalkan politik matang dan sejahtera.

"Setakat ini kita tidak terima sebarang aduan , dakwaan ini timbul mungkin kerana dahulu kita masih tidak amalkan politik matang dan sejahtera,"katanya.

Menurut Din lagi, semua petugas parti juga telah diberikan penerangan dan nasihat supaya dapat  mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi menjamin suasana harmoni dan aman.

Tag: