PRU14: Zaitun Komited Tingkat Ekonomi Penduduk


Calon N18 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung (N18), To' Puan Zaitun Mat Amin berazam memberikan nilai tambah kepada pembangunan sedia ada untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan itu.

Menurut beliau, kedudukan Bukit Payung yang terletak di laluan utama antara Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu menjadikan kawasan itu pesat membangun berbanding kawasan lain di sekitarnya.

"Namun, saya melihat keperluan untuk meningkatkan ekonomi penduduk di mana pembangunan tanpa peningkatan ekonomi masyarakatnya akan menyebabkan perkembangan kemajuan itu sendiri terhenti," katanya.

Beliau yang berasal dari Kampung Atas Tol berkata, usaha membangunkan ekonomi telah dilakukan sejak dahulu lagi oleh Kerajaan BN walaupun DUN tersebut dimenangi pembangkang.

Zaitun sendiri melalui Pergerakan Wanita UMNO telah banyak melaksanakan usaha membantu masyarakat terutama golongan ibu bagi meningkatkan ekonomi keluarga dan keluar dari taraf kemiskinan.

"Kerajaan melalui pegawai- pegawai yang dilantik telah menggerakkan usaha membangun masyarakat. Bagaimanapun, untuk mewujudkan usaha yang lebih sistematik dan tersusun, kita perlukan wakil rakyat dari pihak kerajaan sebagai penggerak dan melancarkan segala dasar kerajaan.

"Saya dengan ini menyeru rakyat untuk menyokong kerajaan hari ini supaya usaha yang telah dilaksanakan dapat diteruskan dengan lebih baik dan diperkasakan lagi," ujarnya.

Tag: