PRU15: Saingan Empat Penjuru Cabaran Alias Pertahan Kemaman

KEMAMAN, 5 November- Penyandang parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dari Parti Islam SeMalaysia (PAS), berdepan saingan empat penjuru dalam mempertahankan kedudukannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang memenangi parlimen Kemaman pada PRU-14 itu, bakal menentang bekas Menteri Besar Terengganu, Dato'Seri Ahmad Said selaku calon Barisan Nasional (BN), Rosli Ab Ghani dari Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Hasuni Sudin yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, Alias tiba di pusat penamaan calon yang diadakan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) pada jam 8.30 pagi.

Manakala, Ahmad Said tiba pada jam 8.50 pagi.

Kehadiran dua calon berkenaan turut diiringi oleh kira-kira 2,000 penyokong kedua-dua parti.

Ahmad yang kali pertama bertanding di peringkat parlimen menyerahkan kertas penamaan calon pada 9.02 pagi, diikuti Alias pada 9.06 pagi, PEJUANG pada (9.12 pagi) dan PH (9.16 pagi).

Penamaan calon disahkan pegawai pengurus bahagian Pilihan Raya Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab dengan kesemua calon layak untuk bertanding.

Sebelum ini, Alias memenangi kerusi parlimen Kemaman dengan 39,879 undi menewaskan penyandang terdahulu dari BN, Ahmad Shabery Cheek dengan majoriti 2,163 undi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: