PSKT Akan Buka Dua Galeri Baru Tahun Hadapan
Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) akan membuka dua galeri yang baru berkonsepkan islamik dan Sains pada tahun hadapan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke pusat berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Prof Madya Dr Wan Nor Liza Mahadi berkata, sejak PSKT di Kampung Laut, Chendering itu dibuka pada April lalu seramai 80,000 pengunjung direkod berkungjung ke PSKT itu.
"Secara puratanya seramai 900 hingga 1,600 pengunjung yang ke PSKT sehari dan mereka ini majoritinya terdiri daripada pelajar sekolah.
"Sehubungan itu, kami menyasarkan peningkatan pelawat selepas dua lagi galeri baru nanti dibuka termasuk galeri berkonsep islamik dan galeri pembelajaran Sains," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Program Sains dan Matematik (STEM) ExxonMobil Terengganu di PSKT, kelmarin.
Perasmian penutup disempurnakan Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Rozailan Mamat.
Wan Liza berkata, sehingga kini PSKT mempunyai empat galeri iaitu Spark Your Creativity, Nature Disaster, Science Technology, Engineering, Mathematics Exploration dan Dinotrek 2 yang mendapat kerjasama Petrosains.
"Berdasarkan perancangan, PSKT mempunyai sembilan galeri namun sehingga kini hanya empat yang beroperasi dan dua galeri lagi akan dibuka pada tahun hadapan.
"Usaha bagi memenuhi semua ruang galeri di PSKT itu akan dijalankan secara berperingkat dan kajian masih dijalankan bagi mengenal pasti konsep galeri yang akan diketengahkan nanti," katanya.
Tambahnya lagi, PSKT juga menganjurkan aktiviti berasaskan Sains, Matematik dan teknologi dari masa ke semasa sebagai usaha menyemarak minat pengunjung terutama pelajar terhadap bidang berkenaan.