KUALA TERENGGANU, 16 November - “Pulanglah anak watan dengan penuh rasa tanggungjawab,” demikian seruan Menteri Besar Terengganu agar semua perantau yang menetap di luar negeri pulang mengundi pada 19 November ini.
Menerusi satu video yang dikongsikan dalam Facebook rasminya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, tugas besar menanti semua rakyat di tanah pusaka tercinta ini demi masa depan Malaysia dan Terengganu.
“Alang-alang berjuang kitalah hulubalangnya, kitalah yang menentu nasib masa depan semua, tidak mungkin kita hanya memandang, maka pulanglah anak watan, dengan penuh rasa tanggungjawab untuk membuat pilihan yang tepat satu undi untuk kebaikan.
“Hasilnya adalah kepada kita jua, kitalah sama-sama yang mendirikan negara tercinta ini, menjadi sebuah negara yang bersih dan stabil,” ujarnya hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, ia sebagai ikhtiar dan rugi sekiranya seseorang itu tidak mengundi.
“Pulanglah anak-anak dan sahabat semua untuk mengundi pada hari Sabtu, 19 November dengan penuh rasa tanggungjawab ke arah Malaysia #BEST, Bersih dan Stabil, dan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” tambah beliau.