Pupuk Minat Anak-Anak Terhadap Sukan Memanah

Oleh : Syahida Mohd

KUALA NERUS, 30 Julai- Ibu bapa disaran memupuk minat anak-anak terhadap sukan memanah yang menjadi sunnah Nabi selain aktiviti berenang dan berkuda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, aktiviti memanah dapat melatih dan menjadikan seseorang itu lebih positif dan rasional untuk mengatasi masalah selain mampu meningkatkan kecergasan fizikal.

”Syabas dan tahniah kepada penganjur kerana menganjurkan aktiviti sebegini kerana ia adalah riadah yang menjadi sunnah nabi yang menyarankan ibu bapa melatih anak-anak kemahiran menunggang kuda, memanah dan berenang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Memanah Dinamik 2D Satria 2024 di Kampung Jeram, di sini, baru-baru ini.

Katanya, program seperti ini penting untuk dikembangkan kepada peringkat yang lebih luas khususnya masyarakat sekitar.

“Saya melihat pertandingan seperti ini boleh diperluaskan lagi di peringkat DUN dan Parlimen agar lebih menyeluruh dan boleh dimasukkan dalam jadual pertandingan sama ada peringkat DUN dan juga Parlimen,” ujarnya.

Kejohanan tersebut telah diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Keluarga SATRIA dan merupakan anjuran Kelab Memanah Tradisional Badar (SATRIA) .

Selain dari pertandingan memanah terdapat pelbagai lagi aktiviti yang turut diadakan antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, teka biji betik, pertandingan kuih tradisional dan pertandingan busana terbaik.


Tag: