Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Pusat Bahasa Arab Pertama Terengganu Mula Operasi
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Pusat Bahasa Arab Pertama milik kerajaan Terengganu yang bernilai sekitar RM1.5 juta mula beroperasi dua minggu lalu.
Pengarah Pusat Bahasa Arab Al-Azhar As-Syarif Darul Iman, Mohd Zaini Mohd Nor berkata, institusi di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu amat penting dalam meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa arab.
“Ini akan menjadi tempat berhimpun anak-anak Terengganu untuk dididik, diasuh sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke tanah arab atau dalam negeri serta menyelesaikan trend penurunan drastik dalam penguasaan bahasa itu.
“Antara pengisian adalah program intensif Bahasa Arab kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Di samping itu, kursus bahasa arab untuk memahami al-Quran juga dibuka untuk orang awam dengan kelas pertama pada 22 Mac ini, dengan jumlah peserta berdaftar sehingga ini seramai 80 orang bermula daripada 20 hingga 60 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bangunan Pusat Bahasa Arab Terengganu di Pusat Bahasa Arab Terengganu, Ladang Tok Pelam, Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini petang semalam.
Turut hadir, Jurutera Daerah, Ir. Anuar Ngah dan Pegawai Khas Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Abdullah Suhaimi.
Tambah Mohd Zaini, kerjasama antara Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Cawangan Malaysia (WAAGM) turut diadakan dalam memastikan kelangsungan pusat tersebut.
“Dengan tenaga pengajar, empat orang dari Malaysia dan tiga orang dari Mesir, pusat ini beroperasi dan menempatkan pelajar lepasan STAM dari negeri sekitar pantai timur.
“Kos peruntukan tahunan kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan sebanyak RM1.18 juta dengan prasarana kira-kira 5 kelas, satu kelas mampu memuatkan 30 pelajar, manakala bilik untuk seminar dan makmal bahasa turut ada dalam memastikan suasana pembelajaran kondusif," tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta rombongan kerajaan negeri bertemu Duta Besar Mesir, Salah Mohi Eldin Elwassimydi di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur bagi membincangkan Pusat Bahasa Arab (Markaz Lughah).