Pusat Tafaqquh Fi Din Dibangunkan Dalam Masa Terdekat

KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung bakal dibangunkan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, penubuhan perkampungan ilmu berkenaan bertujuan memperkasakan lagi pengajian Islam di negeri ini seterusnya mengangkat kembali Terengganu sebagai hub pendidikan turath.

“Projek pembinaan pusat ini telah mendapat kelulusan Mesyuarat Exco minggu lalu dan ianya akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan tiga fasa.

“Sebanyak RM6 juta seperti yang diluluskan dalam Bajet 2020 yang lalu akan diperuntukan untuk fasa pertama manakala untuk fasa kedua dan ketiga pula melibatkan peruntukan sebanyak RM14 juta,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Menurut Satiful, pusat berkenaan akan memberi peluang kepada kepada para lepasan pondok untuk meneruskan kesinambungan pengajian turath dan sistem talaqqi dengan lebih mendalam,

Malah katanya, pusat ilmu yang secara tidak langung bertindak sebagai edu-tourism itu juga bakal melahirkan para ulama yang berketerampilan.

Katanya, sebelum siapnya kompleks kampung ilmu itu, Pusat Tafaqquh Fi Din akan beroperasi sementara di sebuah bangunan di Setiu.

“Pengambilan pelajar untuk sesi 2021 akan dibuat akhir tahun ini dimana pelajar yang terpilih akan belajar buat sementara waktu di Setiu sehingga Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung siap sepenuhnya,” ujar beliau.


Tag: