Berita :
Rakyat Disaran Berjimat Cermat Hadapi Kenaikan Kos Sara Hidup
Rakyat Disaran Berjimat Cermat Hadapi Kenaikan Kos Sara Hidup
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
128

SETIU, 27 Mac – Rakyat disaran berjimat cermat dan mengurus aliran tunai dengan lebih berhemah, termasuk menyimpan lebihan kewangan sebagai langkah menghadapi peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga minyak ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, rakyat perlu lebih bijak mengurus perbelanjaan memandangkan pendapatan kebanyakan isi rumah tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga barangan.

Menurut beliau, kenaikan harga bahan api, khususnya diesel, telah memberi kesan berantai kepada kos pengangkutan dan seterusnya menyebabkan harga barangan harian meningkat.

“Pendapatan tidak bertambah, tetapi kos sara hidup semakin tinggi. Jadi rakyat perlu lebih berjimat cermat dalam berbelanja dalam keadaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat DUN Langkap di Dewan Sungai Tarom, di sini, semalam.

Tambahnya, langkah berjimat bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan isi rumah, malah menjadi pendekatan terbaik dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.

Dalam masa sama, beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat mengambil langkah sewajarnya, termasuk memperkukuh subsidi khususnya dalam sektor pengangkutan bagi mengawal kenaikan kos yang ditanggung rakyat.

“Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana penetapan harga minyak berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, namun kesannya dirasai secara langsung oleh rakyat di peringkat akar umbi.

“Apabila harga minyak meningkat, kos pengangkutan turut naik dan akhirnya memberi kesan kepada harga barangan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan penambahbaikan subsidi minyak, terutama bagi sektor pengangkutan bagi mengurangkan tekanan kepada pengguna.

Mengulas situasi di DUN Langkap, beliau memaklumkan tiada isu besar yang timbul setakat ini, sebaliknya hanya melibatkan aduan kecil yang berjaya diselesaikan melalui peruntukan DUN dan kerjasama jabatan berkaitan.

Katanya, pendekatan kebajikan terus menjadi keutamaan dengan pelaksanaan ziarah kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang politik, selari dengan usaha membudayakan politik matang dan sejahtera.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan keyakinan terhadap sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang, dengan jentera parti yang telah bersiap siaga dan prestasi kerajaan negeri yang masih mendapat kepercayaan masyarakat.

“Setakat ini sambutan rakyat masih baik dan kita yakin sokongan akan terus kekal,” tambah beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan