Rakyat Terengganu Harap PM Tunai Janji

KUALA TERENGGANU, 7 Jun-  Rakyat Terengganu berharap agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menunaikan janjinya bertindak adil dan melunaskan semua pembayaran Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau royalti petroleum kepada kerajaan negeri menurut jadual yang telah ditetapkan.

Rata-rata yang ditemui berkata, sudah tiba masanya wang royalti diserahkan sepenuhnya kepada Terengganu bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dijalankan untuk rakyat di negeri ini.

Seorang peniaga rempah di Pasar Besar Kedai Payang , Nur Ahmad Muhammad, 35, berkata, apabila peruntukan yang sepatutnya disalurkan kerajaan pusat diterima oleh kerajaan negeri, sudah pasti pelbagai manfaat yang akan diperolehi rakyat.

Justeru katanya atas semangat federalisme, kerajaan Persekutuan dan negeri patut menyelesaikan isu DKKP dengan berhemah supaya tidak merugikan nasib rakyat dan Terengganu.

“Sebagai peniaga kita mengharapkan sesuatu yang baik dari pihak kerajaan, contohnya dengan naik taraf ruang-ruang niaga, tambah baik fasiliti dan sebagainya bagi membolehkan kami berniaga dengan selesa sekali gus meningkatkan ekonomi negeri.

“Sudah pasti, pembayaran DKKP oleh kerajaan pusat mengikut jadual yang telah ditetapkan sangat membantu untuk kemajuan rakyat dan Negeri Terengganu dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan, kebajikan, pendidikan, sukan dan lain-lain,” ujarnya kepada pemberita di premis perniagaannya, hari ini.

Sementara itu, Siti Maisarah Taib, 43, yang bertugas sebagai Pembantu Pengurusan Murid meminta kerajaan Persekutuan memulangkan hak rakyat Terengganu.

“Bagi saya, sepatutnya DKKP dipulangkanlah kepada Negeri Terengganu demi untuk kepentingan rakyat.

“Royalti ini hasil Negeri Terengganu, jadi sewajarnya dikembalikan untuk rakyat.

“Kita tengok hari ini masih ada lagi pembayaran untuk kebajikan rakyat seperti bantuan banjir yang belum boleh disalurkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri disebabkan kekangan kewangan ekoran bayaran baki DKKP yang belum dilunaskan kerajaan pusat,” ujarnya.