lightning-solid
Berita :
Rangka Tindakan Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu Langkah Terbaik, Perlu Laksana Segera
Rangka Tindakan Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu Langkah Terbaik, Perlu Laksana Segera
Mohd Irsyadi Abu Bakar
10 Nov 25
405

KUALA TERENGGANU, 10 November - Pembangunan Rangka Tindakan Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu mampu memacu pembangunan pelaburan di negeri itu ke arah lebih baik.

Menurut Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato' Rosli Latif, struktur ekonomi Terengganu bergantung kepada perbelanjaan awam untuk menggerakkan aktiviti ekonomi negeri.

"Apabila kita bercakap tentang tranformasi, bermakna kita perlu melihat bahawa kita kena ubah peranan sektor swasta sebagai pemacu ekonomi negeri dan kerajaan bertindak sebagai pemudah cara.

"Atas sebab itulah, kita mewujudkan satu ekosistem yang lebih kondusif bagi menggalakkan pelaburan-pelaburan swasta," katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Terengganu dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Jelas Rosli, usaha yang sedang dirancang itu merupakan langkah terbaik dan perlu dilaksanakan segera.

Kerajaan negeri perlu lebih komited mencari jalan dengan mengenal pasti projek-projek inisiatif yang ingin dilaksanakan pada tahun yang akan datang.

"Kalau tidak, keadaan ekonomi negeri kita akan berterusan dengan pertumbuhan begini, sukar untuk kita melepasi paras yang lebih tinggi dari apa yang kita capai sekarang.

"Kalau kita tengok trend pertumbuhan Kadar Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Terengganu, ia selari dengan pertumbuhan Persekutuan. 

"Tahun lepas, KDNK Persekutuan adalah sebanyak 5.9 peratus dan kita pula tumbuh sebanyak 4.5 peratus. Jadi, bagaimana kita hendak buat 'leapfrog' untuk mengatasi paras ini?. 

"Cuma, dalam konteks negeri Terengganu matlamat kita adalah untuk mewujudkan satu masyarakat yang sejahtera. 

"Parameter ekonomi adalah salah satu parameter utama, tetapi bagi mencapai matlamat sejahtera kita perlu lihat banyak faktor lain," katanya.

Rosli turut menegaskan, tiada jalan mudah untuk menjayakan pelan yang dirancang, tetapi ia perlu digembleng secara bersama oleh semua pihak kerana itulah apa yang negeri harapkan dan mahu capai.

"Kita kena mulakan benda ini, kalau tidak kita akan ketinggalan. Kalau tengok statistik Indeks Kebahagiaan Rakyat (MHI) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Terengganu adalah negeri paling bahagia. 

"Ini menunjukkan walaupun pertumbuhan ekonomi kita rendah, tetapi kita mencapai kesejahteraan. Pada saya,  matlamat semua sistem ekonomi dunia adalah untuk mensejahterakan rakyat.

"Kita bukan hendak maju semata-mata, tetapi kita hendak rakyat kita yang sejahtera. KDNK, pertumbuhan ekonomi adalah salah satu parameter bagi kita mencapai rakyat yang sejahtera," tambahnya.



Tag :

Artikel Berkaitan