KEMAMAN, 11 Mac – Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar berjalan kaki dari Kampung Meraga Beris, Kijal sekitar waktu Asar, ditemui semula dalam keadaan selamat sehari kemudian kira-kira enam kilometer dari kediamannya.
Remaja tersebut, Ariana Adawiyah Mohd Yulizan, 17 tahun sebelum ini dilaporkan keluar dari rumah seorang diri dan tidak pulang sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarganya.
Maklumat daripada penduduk kampung memaklumkan bahawa remaja berkenaan kali terakhir dilihat berjalan sekitar jam 7 malam di kawasan Peladang berhampiran tanah perkuburan Kijal.
Bapanya, Mohd Yulizan Yussof, 41, melahirkan rasa syukur apabila anaknya berjaya ditemui dalam keadaan selamat selepas hampir sehari tidak diketahui keberadaannya.
“Anak saya ditemui oleh orang awam dalam keadaan baik dan selamat di sebuah kedai Eco-Shop di Kijal sekitar jam 7 malam tadi sebelum dibawa ke Masjid Sultan Ahmad untuk berbuka puasa.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk penduduk kampung serta orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat dan sama-sama mendoakan keselamatan anaknya sepanjang tempoh pencarian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Difahamkan, Adawiyah mempunyai masalah kesihatan dan sedang mengalami kesedihan mendalam selepas kematian neneknya minggu lalu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris yang turut membantu berkongsi maklumat kehilangan tersebut melalui media sosial memaklumkan bahawa keprihatinan masyarakat dalam menyebarkan maklumat sangat membantu mempercepatkan usaha pencarian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk penduduk kampung dan orang ramai yang bersama-sama membantu sehingga remaja berkenaan berjaya ditemui dengan selamat.
Tag :