• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Rezeki Berganda Menanti Nelayan Darat

Oleh: Syahida Nur Izzah Ariffin

DUNGUN, 3 September- Jabatan Perikanan Negeri Terengganu melepaskan sebanyak 28,000 benih ikan ke Sungai Paka, Kampung Durian Mentangau di sini bagi memulihara dan meningkatkan sumber perikanan darat.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, selain memastikan keterjaminan makanan, ia juga bertujuan menggalakkan aktiviti perikanan rekreasi dan eko-pelancongan di kawasan tersebut.

“Pelepasan benih ikan yang dilakukan pada hari ini melibatkan tiga jenis spesies utama iaitu benih udang galah sebanyak 15,000 ekor, benih ikan lampam sungai sebanyak 10,000 ekor, dan benih ikan baung sebanyak 3,000 ekor. 

“Keseluruhan kos untuk program ini adalah sebanyak RM12,350. Pelepasan ini diharapkan dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan, penduduk setempat, serta pengusaha eko-pelancongan,” ujarnya.

Beliau yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program tersebut, semalam.

Sempena program berkenaan, seramai 46 orang nelayan darat di daerah Dungun yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan turut menerima bantuan berupa dua unit pukat tangsi daripada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut katanya, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu amat memandang serius terhadap isu pembanjiran ikan asing di perairan Malaysia.

“Ikan asing ini dilihat sebagai ancaman yang mengganggu ekosistem semula jadi dan perlu ditangani dengan segera,” ujarnya.

Justeru katanya, inisiatif tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh nelayan darat dan masyarakat setempat. 
 


Tag: