KUALA LUMPUR, 1 Mac - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan kekuatan sebenar negeri Terengganu terletak pada sokongan, idea dan doa seluruh rakyat walau di mana sahaja mereka berada.
Katanya, setiap usaha yang dilaksanakan hendaklah diikhlaskan kerana Allah SWT bagi mencapai mardhatillah, sekali gus mengharapkan ganjaran pahala yang berpanjangan di sisi-Nya.
“Semua kita sedia maklum bahawa untuk membangunkan negeri Terengganu bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Kami diberikan amanah untuk mengurus tadbir negeri.
“Namun negeri ini dibina atas semua semangat rakyat yang ada di negeri Terengganu sama ada yang bermustautin di negeri Terengganu sendiri ataupun yang berada di luar.
“Selagi kita ada rasa sayang kepada tanah kelahiran kita, selagi itu kita boleh berjalan seiring, bekerjasama, saling menguatkan demi kebaikan negeri yang kita sayangi ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu Di Perantauan 2026, MAEPS, semalam.

Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada anak-anak Terengganu di perantauan yang hadir bersama keluarga masing-masing.
“Serta penghulu dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di setiap lokaliti, sentiasa menghargai hubungan yang baik dan berterusan antara anak-anak kelahiran Terengganu.
“Di pelbagai daerah sama ada yang berada di Lembah Klang ataupun di Sabah, Sarawak atau di mana-mana sahaja dalam negara kita yang tercinta ini,” terangnya.