Jalur Gemilang
Berita :
RM1.13 Juta Ringankan Beban Penjaga Pesakit Terlantar
RM1.13 Juta Ringankan Beban Penjaga Pesakit Terlantar
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
119

KUALA TERENGGANU, 19 November – Sebanyak RM1.13 juta telah disalurkan hasil usaha kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga September lalu bagi membantu penjaga Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar dan pesakit kronik terlantar serta tidak terlantar.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, bantuan berjumlah RM500 sebulan itu diberikan kepada penjaga yang memenuhi syarat bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka.

“Bantuan ini juga bertujuan menggalakkan anak-anak atau waris terus menjaga ibu bapa di rumah agar mereka dapat terus tinggal bersama keluarga,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (Belanjawan), semalam.

Menurutnya, sehingga September 2026, seramai 2,239 orang menerima manfaat bantuan berkenaan dengan jumlah keseluruhan RM1,134,700.

Tambahnya, pendekatan itu menjadi antara usaha kerajaan memastikan ibu bapa uzur dan pesakit yang memerlukan penjagaan berterusan tidak terabai, selain meringankan tanggungan keluarga.

Dalam pada itu, kerajaan turut melaksanakan Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) atau Home Help Services menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).

“Program ini memberi sokongan secara terus kepada warga emas dan OKU yang tinggal bersendirian atau bersama keluarga yang memerlukan bantuan,” ujarnya.

Menerusi program tersebut, sukarelawan membantu keperluan asas harian, urusan mendapatkan rawatan di hospital atau klinik serta memberikan sokongan sosial dan emosi kepada penerima.

Setakat ini, 644 warga emas menerima manfaat daripada perkhidmatan berkenaan yang digerakkan oleh 161 sukarelawan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan