Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
RM151.64 Juta Baik Pulih Laguna Kuala Setiu
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM151.64 juta bagi memulihkan Laguna Kuala Setiu sebagai destinasi ekopelancongan tanah lembab (Wetlands) terbesar di Malaysia.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peruntukan tersebut digunakan untuk Projek Muara Sungai (Breakwater) Kampung Mangkuk, Permaisuri, Setiu sebanyak RM150 juta dan dijangka ditender pada Februari tahun depan.
Katanya, ia juga digunakan untuk Projek Menaiktaraf Ban Pantai Lagun Setiu, Gong Batu, Setiu berjumlah RM8.22 juta. Projek itu kini sudah 55 peratus siap berbanding sasaran awal 58 peratus sepatutnya siap.
Manakala Projek Melebar dan Mendalamkan Muara Sungai Kampung Kuala Baru Mangkuk, Permaisuri, siap sepenuhnya dengan peruntukan sebanyak RM8.18 juta.
Dr Ahmad Samsuri berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Dato' Abd Halim Jusoh dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke -14 di Wisma Darul Iman di sini, baru-baru ini.
ADUN itu juga ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk memulihkan Laguna Kuala Setiu dalam kawasan DUN Permaisuri dan jumlah peruntukkan disediakan bagi tujuan tersebut.
Menurut maklumat Wikipedia, Laguna Setiu (Setiu Wetlands) atau Tanah Bencah Setiu, sebahagian daripada ekosistem Lembangan Sungai Setiu dan juga sistem yang lebih besar gabungan lembangan tanah lembap kompleks Setiu-Chalok-Bari-Merang terletak di Terengganu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Ia berkeluasan 23,000 hektar, terdiri daripada lapisan hutan riparian tebing sungai, paya gambut, paya bakau, lagun air payau dengan tumbuhan dan pulau-pulau pasir, katil rumput laut dan pantai berpasir.
Di Malaysia, hanya tanah lembap di Daerah Setiu mempunyai sembilan ekosistem yang saling berhubungan iaitu laut, pantai, lumpur, lagun, muara, sungai, pulau, hutan di sepanjang pantai dan paya bakau.
Tanah lembap Setiu bukan saja unik, malah kawasan yang cantik dan kaya dengan kelainan flora dan fauna digabungkan dengan laut, air yang bersih, haiwan di hutan dan juga bukit di sepanjang pantai.
Pantai berpasir, pulau pasir dan tebing sungai adalah tempat bersarang bagi pembiakan terbesar tuntung di Malaysia dari spesies Terrapin Dicat (Callagur borneoensis) dan di situ juga adalah antara beberapa tapak pendaratan penyu hijau (Chelonia mydas) yang diambang kepupusan.
Kedua-dua terrapin dicat dan penyu hijau adalah spesies terancam yang masih boleh dilihat berada di Laguna Setiu.