• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

RM40 Juta Agihan Zakat Perkasa Pendidikan

KUALA TERENGGANU, 27 November - Menyedari melalui pendidikan akan dapat mengubah nasib dan kehidupan seseorang terutama yang datang dari keluarga miskin setiap tahun Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengagihkan lebih RM40 juta bagi memperkasakan pendidikan anak-anak Terengganu.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, strategi Maidam membasmi kemiskinan yang dialami dalam kalangan keluarga berkenaan ialah menerusi pendidikan dengan harapan sekurang-kurangnya 80 peratus anak Terengganu menyambung pengajian ke universiti.

"Sebagai galakan kerana itu sebelum ini kita berikan RM1,000 kepada setiap anak -anak yang dapat masuk ke institusi pengajian tinggi untuk menampung keperluan mereka dan baru-baru ini kita telah merangka kertas kerja untuk turut memberikan memberikan laptop berharga RM3,000 kepada anak-anak orang miskin.

"Peringkat diploma pula kita berikan RM800 dan kita sedang merangka satu kertas kerja untuk memastikan anak Terengganu yang dapat memasuki ke sekolah berasrama penuh dapat RM 500,"ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas merasmikan Kursus Umrah Perdana dan Bantuan Zakat Ikhlas dengan kerjasama AMCARE, di Dewan Masjid Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, semalam.

Tambanya lagi, anak-anak Terengganu yang cemerlang dalam pelajaran jika tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan pekerjaan di Terengganu atau dalam negara, jangan takut untuk mencuba nasib bekerja di luar negara terutamanya di Timur Tengah.

"Kerana di sana memerlukan tenaga dari Malaysia terutamanya dalam bidang ekonomi, ini kerana Malaysia menjadi pakar rujuk kepada dunia Islam kerana kita memiliki sistem kewangan yang terbaik di dunia,"katanya.

Dalam pada itu menurutnya, sebagai langkah untuk membasmi kemiskinan melalui anak-anak yang kurang berjaya dari sudut akademik pula katanya kaedah lain sedang difikirkan.

"Terutama mereka yang tidak minat hendak belajar, hendak buat itu tidak boleh, buat ini tidak boleh kita hendak kumpulan mereka dan kenalpasti kemahiran apa yang mereka miliki untuk mengikuti sebarang kursus bagi mendapatkan pekerjaan yang baik untuk membantu dan mengubah nasib keluarga,"katanya.