• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

RM50,000 Setahun Bantuan Unjam Untuk Kuala Terengganu Dan Dungun

KUALA  TERENGGANU, 8 September – Kerajaan negeri  terus menunjukkan komitmen dalam memajukan sektor perikanan dengan menyalurkan sebanyak RM50,000.00 kepada Jabatan Perikanan  Negeri Terengganu bagi pembangunan unjam yang melibatkan daerah Kuala Terengganu dan Dungun pada tahun ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Hilmi  Harun berkata, sebanyak 40  unit unjam telah dilabuhkan di perairan Pantai Tanjung yang mana memberi manfaat kepada 100 orang nelayan.

“Ia bukanlah satu jumlah besar jika dinilai dengan nilaian duit bagi sebuah kerajaan tetapi ianya satu garis aras untuk masyarakat dan rakyat  melihat bagaimana kesungguhan pihak kerajaan negeri ambil cakna di setiap aspek dalam perjalanan pengurusan negeri Terengganu.

“Walaupun kita di peringkat negeri menghadapi kekangan yang banyak dengan kewangan tidak dapat diuruskan sendiri kerajaan (disebabkan pembayaran royalti yang tak telus).

“Walau bagaimanapun kita tahu ianya satu titik perbezaan perlu dilihat oleh kita semua bahawa apabila kekangan berlaku, kerajaan berusaha setakat sedaya yang mampu untuk menghulurkan bantuan cakna kerajaan agar ianya dapat memberi satu nilai tambah kepada masyarakat berkaitan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Majlis Penyerahan Unjam Dan Pemberian Bantuan Peralatan kepada nelayan Pantai Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang di Pejabat Perikanan berkenaan, pada hari ini.

Hilmi turut menambah bahawa kerajaan negeri berhadapan dengan pelbagai kekangan kewangan, namun tetap berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif.

“Bukan satu usaha yang  julung-julung kali diadakan tetapi sepanjang peralihan kuasa daripada tahun 2018 sehingga sekarang, , kerajaan telah menyalurkan bantuan bernilai RM2.1 juta, termasuk mesin tarik bot, kawat bubu dengan GPS  (Sistem Kedudukan Sejagat (Global Positioning System), fish finder (alat pengesan ikan), serta pembangunan unjam bernilai RM540,000.

“Bukan satu jumlah yang kecil sekiranya dilihat kepada perjalanan kewangan kerajaan,” ujar beliau.

Menurutnya, usaha itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan hasil tangkapan laut, tetapi juga sebagai langkah proaktif kerajaan untuk menambah sumber ekonomi negeri melalui sektor perikanan.

Justeru itu, beliau berharap  agar para nelayan terus komited melibatkan diri dalam menjaga unjam yang telah dibina dengan sebaik-baiknya dan memastikan unjam sentiasa ditambah untuk menjamin sumber ikan di kawasan unjam dilabuh.


Tag: