RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima

KUALA NERUS, 3 Oktober - Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal kini telah mencapai tahap kemajuan 95 peratus dan bakal diagihkan kepada penerima terpilih dalam tempoh dua bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, rata-rata mereka yang memohon rumah itu sudah tidak sabar mendiaminya kerana tertarik dengan reka bentuk serta keindahan warna.

"Saya telah pun mengadakan lawatan ke RPMM Tok Jembal beberapa bulan lepas dan dimaklumkan oleh pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bahawa projek itu kini telah berada di fasa terakhir.

"Sedikit masa sahaja lagi kerana ada beberapa isu (kecil) yang berlaku dalam pembinaan RPMM tersebut dan sekarang ia telah pun diserahkan kepada kontraktor penyelamat bagi membuat kerja-kerja akhir," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucapa di Program Dialog EXCO di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, semalam.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Mengulas lebih lanjut, Wan Sukairi berkata dengan melihat kepada kemajuan terkini RPMM Tok Jembal itu rumah berkenaan akan diserahkan segera kepada pemilik yang terpilih sebelum berakhir tahun ini.

"Insya-Allah saya menjangkakan dalam tahun ini juga kita akan dapat membuat penyerahan kepada pemilik-pemilik yang telah pun dipilih dan berada dalam senarai penama-penama yang berjaya menduduki rumah tersebut.

"Insya-Allah dalam tempoh sebulan dua ini kita akan membuah penyerahan rumah pangsa tersebut," ujarnya.