RTB Felda Selasih; Satu Lagi Janji Dikota

SETIU, 11 Mei – Lot tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak rumah bagi generasi kedua Felda Selasih, Jabi bakal diagihkan kepada para penerima dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata isu permasalahan yang berlanjutan sekian lama ini akhirnya menemui titik pengakhiran setelah terpaksa ditempuhi perjalanan yang sukar.

‘’Alhamdulillah, kita kata dan kita kota. Sebelum ini ramai yang mentertawakan dan menganggap ‘Tok Wakil’ Jabi hanya bermimpi di siang hari untuk selesaikan isu tanah tapak rumah generasi kedua felda ini. Malah, ramai juga yang berkata puluhan tahun kerajaan dahulu memerintah pun tidak dapat selesai, ingat dia ‘power’ sangat boleh selesai.

‘’Benar, bukan mudah mahu keluarkan tanah felda dari Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 untuk agihkan kepada anak-anak peneroka," katanya.

Beliau demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Felda Selasih, Jabi, di Dewan Terbuka di sini, semalam.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, setiap perkara yang dijanjikan dengan sedaya upaya ditunaikan demi untuk kesejahteraan rakyat walaupun terdapat segelintir mengejek dan memerli di atas usaha merealisasikan impian penduduk di sini.

Jelas Azman, keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang terakhir sebelum Aidilfitri baru-baru ini meluluskan lot tanah RTB Tapak Rumah Generasi Kedua Felda Selasih beserta nama-nama peserta adalah satu kejayaan manis bagi semua pihak terlibat.

 

‘’Jalan panjang dan berliku yang dilalui dalam proses sebelum sampai pada tahap ini biarlah disimpan sebagai pengalaman. Senyum di wajah rakyat sudah cukup untuk mengubati segala kepahitan lalu. Yang penting kita telah berjaya merealisasikan sesuatu yang pada awalnya dianggap mustahil. Semua ini kurniaan Tuhanku.

‘’Insya-Allah, dalam seminggu dua lagi kita akan buat majlis undian lot dituruti dengan majlis agihan Jadual 5A. Selepas bayaran premium tanah dijelaskan, akhirnya geran hak milik akan diagihkan,’’ katanya.