Oleh: Abdul Hafiz Ghazali

KEMAMAN, 6 Januari - Kesukaran sebuah keluarga yang tinggal di rumah pusaka uzur tanpa kemudahan tenaga elektrik dan bekalan air selama lebih  10 tahun mendapat perhatian kerajaan negeri.

Rumah Murad Ahmad, 42, yang  tinggal bersama isteri serta empat orang anak itu dibaik pulih dengan anggaran kos  RM10,000.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, beliau difahamkan keluarga yang boleh dianggap miskin tegar itu kini hidup tanpa bekalan elektrik sejak 10 tahun lalu.

Katanya, keluarga itu ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) sebanyak RM400 sebulan. Bagaimanapun jumlah tersebut tidak mampu menampung bil elektrik kerana dibelenggu kesempitan hidup.

“Kerajaan mengambil cakna perihal itu dengan berusaha membaik pulih kediaman dan menghulurkan sumbangan agar Murad yang bekerja sebagai nelayan bersama keluarga dapat menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.


Tag: