Rusila FC Rai Juara Bola Bersama Anak Yatim

MARANG, 16 Ogos - Juara Kejohanan Bola Sepak Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang 2022, Rusila FC telah mengadakan majlis makan malam bagi meraikan kemenangan bersama anak-anak yatim di sekitar kawasan ini.

Penaung Rusila FC, Mohd Hafiz Naim Mohamad berkata seramai 30 orang anak yatim dan penjaga telah dijemput ke program makan malam di Dewan Tok Guru, Rusila, bersama sama dengan keluarga pasukan Rusila FC.

"Program itu juga turut meraikan pemain pasukan 'RusilaJr', 'RusilaKids' dan pihak pengurusan bersama-sama tetamu yang dijemput khas, Wakil Pusat Khidmat Parlimen Marang, Yusuf Abdul Hadi dan Ahli Jawatankuasa Kejohanan.

"Ribuan terima kasih diucapkan kepada Rumah Anak Yatim Baitul Sakinah yang telah menerima jemputan pihak kami dan mendoakan agar anak-anak ini suatu hari nanti dapat menjadi insan yang soleh dan solehah kelak serta berjaya dunia dan akhirat.

Menurutnya lagi, sedikit sumbangan dan cenderahati telah diberikan oleh pihak Rusila FC kepada anak yatim, kerana rezeki yang dikongsi lebih diberkati.

"Pihak Rusila FC harus mengekalkan momentum sedia ada untuk berdepan dalam kejohanan lain yang akan datang terutamanya pada peringkat parlimen akan datang.

"Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi untuk masa yang akan datang dan Rusila FC akan terus berjaya", tambahnya lagi.

Baru-baru ini, Rusila FC telah berjaya merampas kembali kejuaraan dengan membawa pulang semula piala pusingan bersama-sama hadiah utama bernilai RM4000.

Perlawanan akhir diantara Rusila FC melawan Bukit Kecil FC berakhir seri 1-1 dan berjaya dalam penentuan penalti dengan mata 4-3.


Tag: