lightning-solid
Berita :
RUU Perlindungan Saksi Masih Belum Jamin Keselamatan Saksi OKU, Autisme
RUU Perlindungan Saksi Masih Belum Jamin Keselamatan Saksi OKU, Autisme
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
1 hari yang lepas
57

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 disifatkan masih mempunyai kelompangan apabila belum menyediakan perlindungan yang benar-benar menyeluruh kepada saksi Orang Kelainan Upaya (OKU), khususnya individu dalam spektrum autisme dan mereka yang mempunyai masalah pembelajaran (slow learner).

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, walaupun pindaan itu bertujuan memperkukuhkan Program Perlindungan Saksi, ia masih tidak mewajibkan mekanisme khusus bagi melindungi golongan rentan ketika memberikan keterangan di mahkamah.

Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan saksi terpaksa berhadapan secara langsung dengan tertuduh, sekali gus berisiko mengalami trauma psikologi yang serius.

"Sekiranya mereka terpaksa berhadapan dengan tertuduh di mahkamah, keadaan tersebut boleh mencetuskan trauma psikologi yang serius. 

"Mengapakah Rang Undang-Undang ini tidak memasukkan sekali peruntukan khusus bagi membolehkan prosiding dijalankan secara tertutup ataupun penggunaan penghadang bagi kategori saksi yang tiada keupayaan.

"Sebaliknya masih bergantung kepada budi bicara mahkamah di bawah akta-akta lain?" katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau turut mempersoalkan tafsiran frasa "tidak berupaya di sisi undang-undang" yang diperkenalkan dalam pindaan berkenaan, termasuk pihak yang mempunyai kuasa menentukan status seseorang individu.

Tambahnya, kerajaan perlu menjelaskan sama ada penilaian itu memerlukan pengesahan pakar perubatan atau psikologi, khususnya bagi individu autisme dan 'slow learner', bagi mengelakkan percanggahan tafsiran antara agensi pelaksana dan mahkamah.

Che Mohamad Zulkifly turut membangkitkan kebimbangan sekiranya Ketua Pengarah Program Perlindungan Saksi mengiktiraf seseorang sebagai tidak berupaya, namun mahkamah membuat keputusan sebaliknya di bawah Akta Keterangan, sekali gus menimbulkan ketidakpastian terhadap perlindungan keselamatan saksi tersebut.

Selain itu, beliau berpandangan akta berkenaan juga perlu memperuntukkan mekanisme rayuan yang bebas sekiranya program perlindungan ditamatkan akibat kecuaian atau pelanggaran syarat oleh ibu bapa atau penjaga, bagi memastikan kepentingan saksi kurang upaya terus terpelihara.

Justeru itu, beliau turut menggesa kerajaan memperluaskan penggunaan teknologi moden seperti sidang video yang selamat, sistem komunikasi tersulit (encrypted), perlindungan data digital dan kawalan akses yang ketat bagi meningkatkan keselamatan saksi.

Selain itu, Che Mohamad Zulkifly mengingatkan bahawa keberkesanan Program Perlindungan Saksi bergantung kepada peruntukan kewangan yang mencukupi kerana ia melibatkan kos tinggi termasuk penempatan semula, sara hidup dan kawalan keselamatan.

"Sekiranya kerajaan meluluskan pindaan ini tetapi gagal menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi, objektif akta ini tidak akan dapat dicapai," tegasnya.

Beliau berharap kerajaan mengambil serius setiap kelompangan yang dibangkitkan agar pindaan undang-undang itu benar-benar mampu melindungi kanak-kanak dan golongan OKU daripada ancaman keselamatan serta trauma sepanjang proses perundangan.


Tag :

Artikel Berkaitan