KUALA NERUS, 24 Februari – Kejayaan membanggakan diraih seorang saintis dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) apabila namanya diabadikan pada spesies parasit ikan baharu, sekali gus mengharumkan nama negara dalam bidang sains marin dan akuakultur di pentas antarabangsa.
Spesies tersebut, Thelohanellus borkhanuddini, dinamakan sempena Dr. Hafiz Borkhanuddin sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam penyelidikan parasitologi ikan dan biodiversiti marin.
Penemuan berkenaan diterbitkan dalam jurnal Aquaculture Reports serta mendapat perhatian media sains terkemuka, National Geographic.
Kajian itu diketuai alumni UMT, Nadhirah Syafiqah Suhaimi yang kini melanjutkan pengajian doktor falsafah di Hungary, sekali gus membuktikan kemampuan graduan universiti tempatan menembusi jaringan penyelidikan global.
UMT dalam satu kenyataan memaklumkan penemuan spesies baharu dalam genus Thelohanellus bukan sahaja signifikan dari sudut taksonomi, malah memberi implikasi penting kepada kesihatan ikan ternakan, produktiviti industri akuakultur serta keselamatan sumber protein dunia.
Tambah kenyataan itu, pencapaian berkenaan selaras komitmen universiti memperkukuh agenda ekonomi biru melalui penyelidikan berkualiti tinggi, kerjasama antarabangsa dan pembangunan kepakaran dalam ekosistem akuatik.
Kejayaan tersebut sekali lagi menegaskan peranan penyelidikan saintifik sebagai pemangkin reputasi institusi pendidikan tinggi negara di persada dunia.