Sambutan Kemerdekaan DUN Cukai Semarak Semangat Patriotisme

KEMAMAN, 28 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai yang diadakan bersempena dengan Bulan Kebangsaan 2024 menjadi platform terbaik untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan komuniti di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk Malam Ambang Merdeka.

"Kami akan mengadakan pelbagai acara yang boleh melibatkan ahli keluiarga dan juga sukan.

"Dalam masa sama, kami telah menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk cabutan bertuah.

"Justeru itu, kami menyeru kepada seluruh masyarakat di daerah ini dan sekitarnya untuk hadir beramai-ramai bagi sama-sama memeriahkan program yang kami adakan ini," katanya yang juga merupakan Pengerusi Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu.

Untuk makluman, program tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula 29, 30 dan 31 Ogos.

Pelbagai acara yang diadakan seperti Forum Bicara Merdeka, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Sajak, Busana Cilik Merdeka, Kejohanan Penalti, Persembahan Silat, Pertandingan Basikal Berhias, Persembahan Pentas dan lain lain.

Forum Bicara Merdeka pula akan menampilkan tetamu istimewa iaitu Saiful Apek, Pencetus Ummah (PU) Rahmat, Pencetus Ummah (PU) Amin dan Syed Norhisyam Tuan Padang.