Santuari Kelah Kenyir Menang 'Best Eco Tourism Initiative' 2021
KUALA TERENGGANU, 15 Disember- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) baru-baru ini mendapat pengiktirafan Malaysia Tourism Council Gold Awards (MTCGA 2021).
Dalam majlis di New World Hotel, Selangor itu, Santuari Kelah yang merupakan salah satu destinasi pelancongan Tasik Kenyir dinobatkan sebagai 'Best Eco Tourism Initiative'.
Pengurus Besar KETENGAH, YM Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, kejayaaan tersebut dicapai hasil usaha bersama KETENGAH, kerajaan negeri dan para penggiat pelancongan terutama Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir dalam mempormosikan Tasik Kenyir menjadi destinasi pelancongan terulung di Malaysia.
"Kejayaan ini juga memberikan inspirasi kepada semua pihak terutama agensi dan pemain pelancongan dalam menjadikan Terengganu dan Tasik Kenyir khususnya sebagai destinasi wajid dikunjungi.
"KETENGAH memulakan inisiatif projek pemuliharaan pada 2006 dengan menjinakkan ikan kelah liar, satu spesis asal di tasik ini menjadi satu produk tarikan utama pelancongan," katanya.
Tambahnya, pembangunan Santuari Kelah turut mendapat sokongan dan kerjasama kerajaan negeri untuk memastikan produk berkenaan terus berdaya saing dan berpotensi dimajukan ke tahap seterusnya.
Santuari tersebut sekaligus menggalakkan pembiakan semula ikan kelah liar di habitat semula jadinya. Selain itu, kepelbagaian habitan semula jadi dan ikan kelah sering menjadi tumpuan kaki pancing yang berkunjung ke Tasik Kenyir.