Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Sasar Bantu 100 Pelajar Miliki Telefon Pintar Mudahkan PdPR
MARANG, 2 Februari - Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang menyasarkan 100 pelajar kurang berkemampuan memiliki kemudahan peranti mudah alih atau telefon pintar sendiri agar sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara atas talian berjalan lancar.
Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata, selain itu menerusi Program Cakna Didik Marang Hebak itu juga, pihaknya akan mendapatkan sumbangan bagi 1,000 lagi pelajar bagi bantuan kewangan untuk pembelian tambah nilai internet.
“Program ini bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan, mempunyai bilangan anak yang ramai serta ibu bapa yang bekerja dan keperluan kepada telefon serta keperluan kos tambah nilai internet untuk pelajar mengikuti pembelajaran secara atas talian.
“Kita sasarkan dapat bantu 100 pelajar miliki telefon pintar menjelang akhir bulan ini dan 1,000 pelajar akan dapat manfaat bantuan kewangan secara tunai bagi pembelian data atau tambah nilai secara berperingkat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 10 unit telefon pintar hasil sumbangan pelbagai pihak kepada Pejabat Pendidikan Daerah Marang untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong.
Katanya, program tersebut telah mendapat perhatian pelbagai pihak yang ingin turut sama membantu dengan dana permulaan yang diterima sebanyak RM5,000 untuk perolehan 10 unit telefon pintar dan simkad serta bantuan kewangan bagi pembelian tambah nilai internet.
“Sumbangan awal diterima melalui Syarikat Marang Coara Sdn Bhd dan beberapa penyumbang individu, dimana seorang penyumbang boleh membantu seorang pelajar dengan kadar RM250 satu peranti mudah alih dan RM20 untuk pembelian data.
“Justeru pihak kami sangat mengalu-alukan lebih ramai pihak untuk tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu pelajar menghadapi cabaran PdPR di kala kita semua diuji dengan pandemik COVID-19,” ujarnya.