KUALA TERENGGANU, 25 Oktober- Kerajaan negeri hari ini melancarkan Tabung Sumbangan Terengganu Buat Palestin #Aid4Palestine 2.0: Taufan Al Aqsa, untuk rakyat negeri ini menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan penderitaan penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya menyasarkan RM1 juta sumbangan akan berjaya dikumpul dalam masa sebulan menerusi tabung tersebut.
Katanya, sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin, inisiatif ini akan dipanjangkan kepada jabatan dan agensi kerajaan, selain sektor swasta dan persendirian daripada seluruh negeri ini.
“Kita telah menyusun formula untuk dapatkan RM1 juta termasuk melalui tabung yang akan diletakkan di setiap jabatan, masjid dan lain-lain.
“Apa yang kita buat ini adalah untuk membentuk kesedaran seluruh umat Islam di bumi Terengganu berkongsi apa yang dilalui oleh umat Islam di Palestin,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Tabung Sumbangan Terengganu Buat Palestin #Aid4Palestine 2.0: Taufan Al Aqsa sempena Kuliah Dhuha Dan Solidariti Aqsa Bersama Warga Wisma Darul Iman yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus di sini, hari ini.
Hishamuddin berkata, pihaknya juga mengalu-alukan semua kaum termasuk masyarakat bukan beragama Islam untuk bersama-sama menyalurkan sumbangan.
“Kalau umat Islam kita letak nama atas satu akidah, satu agama, bagi masyarakat bukan beragama Islam pada kita mereka lakukan atas dasar kemanusiaan.
“Kita mengalu-alukan sebab kita buat inisiatif ini bagi memenuhi aspek kemanusiaan dan juga pembelaan terhadap umat Islam di bumi Palestin,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasar, wakil dari kerajaan negeri sendiri akan turut sama dalam misi kemanusiaan ke Palestin itu nanti.
“Selepas ini kita akan bincang dengan beberapa pihak yang akan terlibat dengan misi kemanusiaan ini, samada membawa sumbangan tunai terus atau membeli barangan, itu berdasarkan kepada keperluan semasa.
“Sebab saya difahamkan sekarang ini keperluan aspek kemanusiaan adalah makan dan minum, kita akan tengok perkembangan situasi semasa,” ujarnya.