KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Dalam usaha memperkasa sektor koperasi di negeri ini, Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan penubuhan 150 koperasi baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman mengumumkan sasaran itu dalam mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri Terengganu (MPKN) kali pertama untuk tahun 2024.
“Di Terengganu kita ada 505 buah masjid dan 28 buah koperasi.
“Kami telah berbincang dan mendapat persetujuan MAIDAM, maka kita sasarkan dalam masa 3 tahun untuk menubuhkan 150 buah koperasi.
“Ini azam dan akan bekerja dan bergerak ke arah itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi (MPKN) peringkat Negeri Terengganu siri pertama di Menara Majis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Darul Iman, Kuala Terengganu, pada semalam.
Menurut Ariffin, terdapat 828 koperasi berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di negeri Terengganu yang memberikan impak positif kepada masyarakat, terutama di kawasan luar bandar.
"Dengan adanya bantuan dan geran daripada SKM, koperasi-koperasi ini boleh buat pelbagai aktiviti dan dapat meningkatkan produk serta program di peringkat masing-masing,” katanya.
Beliau juga menegaskan kepentingan koperasi masjid dalam membangunkan masyarakat qariah.
“Koperasi tidak hanya berpusat di bandar, tetapi juga hadir di luar bandar, di mana ia memberi impak yang besar kepada kariah dan masyarakat setempat.
“Kehadiran koperasi di kawasan luar bandar bukan sahaja melibatkan penubuhan, tetapi juga keaktifan dalam menjalankan operasi mereka.
“Kita memfokuskan mesyuarat kali ini untuk memperkasakan penubuhan koperasi dan berusaha menubuhkan konsortium peruncitan masjid.
“Kami akan mewujudkan sebuah konsortium dengan menggunakan 'warehouse' yang ada, bertujuan untuk memusatkan operasi perniagaan dan ini termasuk penubuhan kedai koperasi di masjid serta membantu kedai-kedai runcit terdapat di sekitar masjid dan qariah.
“Dengan cara ini, koperasi masjid dapat berfungsi secara aktif dan membantu masyarakat menghadapi cabaran peruncitan di negeri Terengganu, terutamanya apabila terdapat pasaral raya besar yang dibuka, menyebabkan kedai-kedai kecil terpaksa menutup perniagaan mereka,” ujar Ariffin.
Selain memperkasakan koperasi masjid, kerajaan negeri berazam untuk mempergiatkan bantuan kepada semua koperasi di seluruh negeri Terengganu.
“Bagi koperasi yang sudah ditubuhkan, kita akan memberikan latihan untuk meningkatkan pengurusan mereka, manakala bagi koperasi baru, kita akan mendedahkan mereka kepada pelbagai insentif yang tersedia melalui SKM Terengganu.
“Ini adalah antara pelbagai kaedah yang kita laksanakan untuk meningkatkan keberkesanan koperasi di negeri Terengganu,” katanya.
Ariffin turut menyentuh tentang kerjasama yang dijalankan melalui koperasi untuk menjual barang dengan harga murah menerusi inisiatif jualan rahmah.
“Kita ada buat kerjasama melalui koperasi seperti jualan murah melalui Koperasi Jualan Rahmah dan KPDN, melalui portfolio saya sendiri, kita telah memperkenalkan Pasar Berkat.
“Kita telah buat 'trademark' Pasar Berkat yang kita dah buat di Parlimen Kuala Terengganu dan Marang, kemudian kita perturunkan di DUN-DUN untuk mengatasi isu-isu masyarakat.
"Apaila kita buat Jualan Rahmah, ia mendapat sambutan yang sangat baik dna ini menandakan bahawa rakyat sekarang ini memang sangat susah.
“Kos sara hidup ada turun ada naik tetapi penurunan yang berlaki tidak banyak bahkan semakin hari semakin meningkat,” tambah Ariffin lagi.