'Sasaran Defisit Fiskal Bajet 2023 Sukar Dicapai'

KUALA TERENGGANU, 1 Mac- Sasaran kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.6 kepada 3.2 dalam tempoh dua tahun sebagaimana dibentangkan dalam Bajet 2023 oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Dato Sri Anwar Ibrahim dilihat terlalu optimis dan sukar untuk dicapai.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditanya tentang Bajet 2023 itu menyifatkan, ada perkara yang perlu difikirkan secara realistik atau tidak sebelum dibentangkan.

"Bajet yang telah dibentangkan ada yang positif, ini kita sokong. Antaranya ialah kenaikan cukai kepada golongan berpendapatan tinggi, insentif kepada golongan B20 dan M40 yang dijadikan fokus, cukai barang mewah serta beberapa perkara lain.

"Dalam masa sama, ada antara yang dibentangkan agak optimis dan kadangkala kita perlu memikirkan samada ia realisitik atau tidak. Defisit fiskal ini memberi gambaran tentang hasil (revenue) kerajaan berbanding belanja mengurus dan belanja pembangunan, pengurangan itu bermakna peningkatan hasil bagi kerajaan dan juga bermakna pengurangan belanja mengurus dan pembangunan.

"Dalam tahun 2023 ini, pakar-pakar ekonomi antarabangsa menjangkakan cabaran lebih hebat berbanding tahun lalu. Tahun lalu kita berdepan kesan geo-politik akibat perang Rusia-Ukraine. Dalam tempoh dua minggu ini, kita dapat lihat berlaku ketegangan kuasa-kuasa besar seperti Amerika, China bahkan India juga membuat keputusan yang berbeza daripada Eropah dalam beberapa perkara untuk mendapatkan tenaga daripada Rusia, menandakan cabaran geo politik tahun ini lebih besar.

"Dalam keadaan demikian, bagaimana untuk kita meningkatkan hasil kerajaan atau mengurangkan defisit fiskal ini?," katanya ketika ditemui pemberita di Setiu, baru-baru ini.

Tambahnya, cara paling mudah bagi sebuah kerajaan untuk menjayakan sasaran berkenaan ialah melalui tiga perkara.

"Pertama adalah dengan melaksanakan pinjaman di luar negara dalam skala besar untuk meneruskan belanja mengurus. Kedua, bagi negara seperti Amerika Syarikat adalah dengan mencetak lebih banyak dolar.

"Ketiga, ialah dengan meningkatkan cukai. Sekiranya, tahun mendatang ini berlaku peningkatan cukai terutama yang melibatkan kesan berantai kepada rakyat, saya rasa ini merupakan cabaran.

"Sebab itulah jangkaan pihak kerajaan bahawa pengurangan defisit fiskal itu sangat optimis dan sangat mencabar untuk dicapai," katanya.


Tag: