Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
KUALA TERENGGANU, 10 September - Syarikat Air Terengganu (SATU) mengagihkan 100,000 liter air bersih atau dengan muatan 20 trip sehari bagi meringankan beban penduduk di sekitar Lembah Kelang, Selangor yang terjejas akibat krisis air.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, sebuah lori tangki dengan dua pemandu itu ditugaskan menghantar bekalan air di sekitar Klang sejak hari kedua krisis air di negeri itu dan dijangka berterusan sehingga minggu depan.
"Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ada pusat penyelarasannya dan mereka akan membahagikan kawasan penghantaran air dan bagi SATU, kita ditugaskan di sebahagian kawasan Klang.
“Bantuan ini sebenarnya selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) antara operator dan permintaan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), maknanya jika berlaku krisis air antara negeri, kita akan turun membantu.
“Semasa kita berdepan dengan krisis air pada tahun 2018, mereka juga datang bantu dalam pengagihan air bersih di kawasan yang terjejas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang bermula sejak Khamis lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.
Dalam perkembangan sama, Ir Atemin berkata, selain di Selangor, SATU juga melakukan misi yang sama, dengan menghantar lori tangki dengan kapasiti 5,000 liter ke Machang, Kelantan sejak 29 Ogos lalu hingga semalam