Abdul Hadi semasa memasuki Kompleks Sri Perdana petang tadi. |
KUALA LUMPUR, 9 Mac - Sikap terbuka Ahli Parlimen Marang yang tidak mewajibkan dirinya dilantik dalam mana-mana jawatan Menteri mengundang rasa kagum Mufti Perlis.
Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) dalam satu hantaran di Facebook peribadinya berkata, sewaktu berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau dimaklumkan tentang perkembangan akhir sebelum pembentukan kabinet diumumkan.
"Antara yang saya kagum, beliau memberitahu sikap terbuka Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang tidak mewajibkan agar dirinya mesti dilantik (ke dalam kabinet).
"Walaupun beliau mengemukakan senarai nama dari partinya, tapi beliau tidak bertegas membuat tuntutan untuk dirinya. Kita patut memuji sikap yang seperti itu," katanya.
Tambah Dr Maza, matlamat sebenar untuk melihat satu kerajaan yang stabil, cekap, melindungi asas-asas negara perlu diutamakan berbanding kepentingan lain.
"Para pemimpin yang mencari redha Allah, Jika kita semua tulus kerana Allah, banyak urusan umat ini akan berjaya kita laksanakan," jelasnya.
Pada Jumaat lepas, Abdul Hadi dalam satu sidang media menegaskan, beliau terbuka kepada Perdana Menteri dan tidak mewajibkan dirinya dipilih.
"Kalau saya tak dipilih saya balik jadi nelayan pun tak apa, tak jadi masalah. Saya nak bekerja untuk negara," katanya.
Sementara itu, mengulas tentang pembentukan kabinet hari ini, Abdul Hadi berkata ia adalah satu permulaan yang baik untuk negara dan rakyat.
"PAS menyambut baik dan mendukung sepenuhnya kepimpinan YAB Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang baharu diumumkan hari ini, demi membawa kebaikan kepada negara dan rakyat.
"Kami percaya pembentukan Kabinet ini dilakukan secara berhemat dengan mengambil kira aspek integriti dan kelayakan, serta keseimbangan di antara wilayah dan masyarakat majmuk untuk memastikan mutu perkhidmatan yang baik oleh pihak kerajaan," ujarnya.
Abdul Hadi turut berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan kepada PAS dalam membangunkan negara.