Sebat Syarie Sulung Disaksikan 100 Orang Awam

 
Pesalah Musahaqah diiring ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu. -Foto Solahuddin Al-Idrus
KUALA TERENGGANU - Buat pertama kali hukuman sebat syarie ke atas pasangan lesbian dilaksanakan di Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu disaksikan oleh 100 orang awam.
 
Mahkamah itu mengambil masa kira-kira satu minit 52 saat untuk menjalankan masing-masing sebanyak enam sebatan ke atas dua pesalah 'musahaqah' (percubaan melakukan seks songsang) pasangan berusia 22 dan 32 tahun itu di dalam dewan perbicaraaan yang penuh sesak.
 
Dua Pegawai Wanita Penjara Kajang masing-masing menjalankan hukuman tersebut setelah diperintahkan oleh Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd supaya berbuat demikian.
Pesalah Musahaqah diharap insaf
 
Turut bersidang ialah Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun dan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail.
 
Pesalah pertama disebat enam sebatan selama kira-kira satu minit bermula jam 10.10 minit pagi hingga 10.11 pagi. Manakala pesalah kedua disebat oleh pegawai wanita lain dengan jumlah sebatan yang sama selama 52 saat, bermula dari jam 10.13 pagi.
 
Pesalah diberi peluang untuk membuat rayuan dan diperiksa kesihatan mereka oleh Pegawai Perubatan Bertauliah sebelum sebatan itu dijalankan.
 
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Yahaya Ali, Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Haji Satiful Bahri Mamat, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-Mits) Ustaz Kamarulzaman Abdullah hadir menyaksikan hukuman tersebut.
Pengamal Media dan orang awam berpusu-pusu berusaha masuk ke Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu
 
Turut hadir ahli keluarga pesalah, wakil badan peguam, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media.

 
Terdahulu, kedua-dua pesalah hadir ke mahkamah secara berasingan sekitar 8.30 pagi sebelum diarah menukar pakaian untuk menjalani hukuman yang dikendalikan pihak Jabatan Penjara Malaysia.
Pada 18 Ogos lalu, kedua-dua pasangan lesbian terbabit dijatuhi hukuman denda sebanyak RM3,300 setiap seorang dan enam sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.
Mereka berdua telah membayar denda berkenaan sebelum hukuman sebat itu dilaksanakan.
Sebelum perbiacaraan hakim menyatakan bahawa hukuman itu bukan untuk menyakitkan pesalah tetapi ia lebih kepada untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat awam supaya tidak melakukan kesalahan jenayah berkenaan.
Hakim menasihatkan orang awam supaya tidak memandang hina terhadap pesalah dan menasihatkan mereka terbabit insaf dan tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

Tag: