Seberang Takir FC Pertahan Kejuaraan Piala Epic
Seberang Takir Fc mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Aslan Warrior dalam perlawanan akhir Piala Epic DUN Seberang Takir yang berlangsung di Kompleks Sukan Tengku Muhamad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu, malam tadi.
Nasib menyebelahi Seberang Takir FC apabila menewaskan Aslan Warrior 4-2 dalam pusingan penentuan sepakan penalti selepas terikat jaringan 2-2 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kapten pasukan tersebut, Ahmad Tarmizi Hashim berkata, dia tidak menyangka akan menang dalam perlawanan akhir berkenaan kerana lawannya merupakan pasukan yang kuat.
“Aslan Warrior merupakan pasukan yang terdiri daripada askar dan sudah dikenali sebagai pasukan yang hebat.
“Namun, saya selaku kapten pasukan percaya dengan kemampuan ahli pasukan dan hasilnya kami dapat mempertahankan kejuaraan ini buat kali kedua berturut-turut sejak diperkenalkan pada tahun lepas,” katanya.
Tarmizi berkata, sebagai persediaan menghadapi kejuaraan tersebut, pemain muda mula diserapkan ke dalam pasukannya pada musim ini.
“Untuk tahun ini, kami gandingkan pemain muda dan pemain lama supaya serasi serta memberi pengalaman kepada mereka.
“Bermula tahun hadapan, kemungkinan semua pemain yang akan diserapkan sebagai kesebelasan utama bagi pasukan ini adalah pemain muda,” katanya.
Dengan kemenangan tersebut, Seberang Takir FC membawa pulang wang tunai Rm3,500, piala iringan serta medal, manakala Aslan Warrior pula menerima wang tunai RM2,500 dan medal.
Tempat ketiga pula, dimenangi oleh Teluk Ketapang Darat, sementara tempat keempat milik pasukan Telaga Daing. Masing-masing membawa pulang RM1,500 dan RM1,000 berserta medal.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.
Turut hadir, Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Khairuddin Abdul Majid.