Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Sedia Bantu Graduan Buka Perusahaan Sendiri
KUALA TERENGGANU, 2 November – Kerajaan Negeri melalui Terengganu Skills Development Centre (TESDEC) bersedia membantu graduan membuka perniagaan atau perusahaan sendiri selepas berjaya menamatkan pengajian di institusi itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata sijil keluaran TESDEC diiktiraf dan diterima baik dalam pelbagai industri.
Beliau berkata alumni TESDEC antara graduan yang peluang pekerjaan mereka cukup terjamin dengan skill dan akademi yang dimiliki.
"Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri sangat menggalakkan para graduan TESDEC mencipta peluang pekerjaan sendiri.
“TESDEC pula sedang berusaha menambah program inovasi dan membina jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) supaya mana-mana alumni yang berhasrat untuk membuka perusahaan atau perniagaan sendiri, kerajaan negeri menjadi pemudah cara untuk tujuan tersebut,” jelas beliau.
Wan Sukairi berkata demikian di Sidang Media selepas Majlis Konvokesyen TESDEC ke 5 di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Sendirian Berhad, Sulaiman Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Iskandar Muhammad Aziz.
Terdahulu, Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam dalam ucapan perasmiannya berkata, Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan dan latihan yang berlaku di Terengganu dalam memastikan setiap graduan yang dilahirkan oleh institusi di negeri ini sentiasa mendapat tempat dalam industri dan sektor memerlukan.
Katanya, kolaborasi dengan pemain industri sentiasa dijalankan bagi mewujudkan kesinambungan jalinan saling melengkapi daripada aspek keterampilan graduan selaras dengan keperluan guna tenaga dalam industri.
"Pada masa yang sama juga, kerajaan melalui Terengganu Skills (TESDEC) turut menawarkan program berbentuk 'reskilling' dan peningkatan tahap kemahiran yang lebih kompetitif," ujarnya.