• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Sedia Tarik Pelabur Asing Teroka Industri Tani di Terengganu

MARANG, 15 Julai – Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan para pelabur asing yang berminat dan bersedia untuk melabur ke Terengganu bagi melihat, membangunkan sektor pertanian berpotensi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, namun begitu mereka perlu patuh kepada syarat-syarat yang  ditetapkan.

Katanya, tiga soalan utama akan diberikan apabila ada pelabur yang datang mengemukakan ‘proposal’ atau cadangan projek iaitu nyatakan apa yang pelabur nak buat, kedua apa yang kerajaan negeri perlu bantu dan apa yang rakyat Terengganu boleh dapat manfaat.

“Setiap negara kita tak boleh lari daripada foreign direct investment (FDI)sebab pelabur ini mereka datang bawa modal, teknologi, kemahiran baru dan juga membuka peluang pekerjaan.

“Setakat ini alhamdulillah pelabur asing dalam pertanian kita berada di atas landasan yang tepat. Contohnya pelaburan asing daripada McCormick Global penanaman lada hitam secara komersial di Lembah Bidong seluas 600 hektar, mereka patuh kepada apa yang telah kita persetujui bersama dalam MoU.

“Antaranya peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, syaratnya dibina kilang bagi kita tambahkan ruang dan peluang pekerjaan,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Ayam Dinsan, Kampung Temala, hari ini.

Justeru itu katanya, dari konteks kerajaan negeri, rakyat tempatan, daripada kalangan kebanyakan disantuni, dalam masa yang sama pengusaha dan pelabur asing juga dialu-alukan sebab tidak boleh bergantung kepada satu sektor sahaja tapi perlu bergantung kepada banyak perkara cabang untuk membangunkan Terengganu.

Dr Azman juga berkata, ini membuktikan bahawa rakyat tidak disisihkan sebaliknya kerajaan negeri menyediakan sokongan modal untuk rakyat tempatan melalui skim pinjaman modal tani dan pelbagai bantuan teknikal.

“Kita bercakap dengan pelabur jangan campur aduk dengan fokus kita untuk bantu usahawan tempatan, kedua-dua ini kita tidak boleh abaikan dan mesti berjalan serentak,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa selain McCormick, kerajaan negeri kini sedang menerima beberapa pelabur yang genuine investor.

“Kita sedang menerima beberapa pelabur yang saya istilahkan datang dengan proposal jelas tentang perancangan bisnes dan ada syarikat daripada Korea yang datang untuk buka ladang ternakan ayam bersekali dengan ladang solar yang kita panggil agrivoltaic termasuk pelabur yang datang untuk buat ladang lada besar-besaran pun kita tengah proses.

“Yang terbaru ada satu syarikat yang datang untuk buat ternakan ikan talapia secara komersial di Tasik Kenyir dalam bentuk sangkar dan kita telah buat perbincangan awal lawatan tapak.

"Kerajaan negeri dalam proses pengezonan sebahagian daripada kawasan di tasik kenyir sebagai zon industri aquaculture bagi kita memudahkan lagi untuk usahawan pelaburan masuk dan memanfaatkan keadaan geografi tasik kenyir itu bagi pengembangan industri aquaculture,”ujarnya.