KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim menggesa kerajaan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam menangani jenayah siber rentas sempadan.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat pada 1 Julai, beliau berkata peruntukan berkaitan pemakaian luar wilayah merupakan langkah yang tepat memandangkan kebanyakan sindiket penipuan siber beroperasi dari luar negara.
Bagaimanapun, Ahmad Amzad mempersoalkan sejauh mana keberkesanan pelaksanaannya sekiranya suspek berada di negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi atau kerjasama perundangan dengan Malaysia.
"Penguatkuasaan rentas sempadan ini amat kritikal memandangkan majoriti sindiket scam operasi 'phishing' dan pemerasan digital ini didalangi oleh dalang yang bersembunyi di luar negara.
"Namun persoalannya sejauh manakah keberkesanan penguatkuasaan luar wilayah ini sekiranya pelaku didapati berada di negara-negara yang langsung tidak mempunyai perjanjian ekstradisi atau kerjasama undang-undang dengan Malaysia.
"Seterusnya, apakah komitmen komprehensif kerajaan buat masa ini di peringkat multilateral khususnya bersama rakan ASEAN dalam memperluaskan jalinan kerjasama penguatkuasaan terhadap jenayah siber rentas negara," soal beliau.
Peruntukan pemakaian luar wilayah (extraterritorial application) merujuk kepada Fasal 2 Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 yang membolehkan undang-undang Malaysia dikenakan ke atas kesalahan jenayah siber.
Hal itu termasuklah jika perbuatan itu dilakukan di luar negara, selagi ia memberi kesan kepada negara atau melibatkan kepentingan negara.
Dalam pada itu, menurut beliau, Fasal 40 dan Fasal 50 yang memperuntukkan kuasa pengumpulan data trafik masa nyata serta sistem maklumat bersepadu merupakan antara komponen paling strategik dalam keseluruhan RUU berkenaan.
"Saya melihat Fasal 40 dan Fasal 50 sebagai antara peruntukan yang paling strategik dalam keseluruhan RUU ini.
"Dalam mendepani jenayah scam, masa adalah segala-galanya.
"Keupayaan agensi untuk bertindak dalam tempoh masa kritikal atau 'golden hour' menentukan sama ada wang mangsa dapat diselamatkan atau lebur ke luar negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan kerajaan mengenai integrasi teknikal sistem berkenaan dengan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), institusi perbankan dan syarikat telekomunikasi, termasuk penggunaan AI bagi mengesan akaun keldai secara masa nyata.
"Oleh itu, saya ingin mengetahui bagaimana peruntukan ini akan diintegrasikan secara teknikal dengan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), bank-bank komersial dan syarikat telekomunikasi.
"Adakah sistem bersepadu yang bakal dibina ini berupaya mengesan pergerakan akaun keldai secara kecerdasan buatan masa nyata," ujarnya.
Pada masa sama, Amzad menegaskan bahawa kuasa pengumpulan data trafik yang diperuntukkan dalam RUU tersebut perlu disertai mekanisme semak dan imbang yang jelas bagi menjamin hak privasi pengguna serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan kebocoran data.
"Perlindungan data peribadi bukan sekadar perkara teknikal, ia adalah hak asasi yang mesti dijamin di bawah RUU ini," tegas beliau.