Sekat Royalti Sebab Takut Terengganu Maju?

KUALA TERENGGANU, 27 November – Tindakan Kerajaan Persekutuan yang berdolak-dalik dalam menunaikan hak rakyat atau hasil petroleum Terengganu dipercayai kerana bimbang negeri itu akan bertambah maju dan kuat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya berharap agar Kerajaan Persekutuan menghormati tanggungjawabnya selaras dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan.

"Jangan sampai tindakan menyempitkan hasil royalti atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang sedang berlaku ketika ini boleh menyebabkan mungkin akan ada rakyat Terengganu bangun daripada ‘hibernasi’ mereka. 

“Sehingga boleh berjangkit ke seluruh negara dalam gelombang yang kita semua tidak tahu kesannya,” beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Terengganu bertemakan Meneraju Era Baharu Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Tegas beliau, perkara itu adalah soal asas dan prinsip, jika bersikap sebaliknya atas rasa curiga serta ragu-ragu, ia adalah langkah ke belakang dalam membina sebuah negara Malaysia yang merdeka.

“Ya, saya lebih sukakan pendekatan ‘bincang-bincang’ sama ada secara formal atau tidak formal.

“Kerana kita semua sama ada negeri atau Persekutuan berdepan dengan tanggungjawab menjaga rakyat tanpa mengira fahaman atau undi parti politik dalam pilihan raya,” tegasnya. 

Untuk rekod, sehingga Oktober Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan hak rakyat negeri Terengganu sekitar RM1.5 bilion.

“Tetapi Kerajaan Negeri hanya menerima RM510 juta, jumlah ini adalah paling rendah berbanding dengan tahun sebelumnya sejak 2018 hingga 2022.

"Terimaan ini juga jauh daripada anggaran dana khas (wang Ehsan) dalam belanjawan tahun 2023 iaitu sebanyak RM1,524,928,690.

"Harus diingat, yang sebenarnya mengalami penderaan adalah rakyat, mereka telah menikmati hak milik ini mereka sejak sekian lama," jelasnya.


Tag: