Sekat Wakil Rakyat ke Sekolah: Kerajaan Persekutuan Tidak Matang

KUALA TERENGGANU, 20 November - Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) menyelar tindakan kerajaan persekutuan yang didakwa menyekat Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada memasuki institusi pendidikan, termasuk sekolah dan universiti. 

ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail menyifatkan tindakan itu sebagai tidak matang dan bertentangan dengan prinsip keterbukaan yang dijanjikan kerajaan.

“Semasa pentadbiran Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan, kami masuk ke sekolah dan universiti untuk bertemu guru serta pelajar, dan mereka menyambut kami dengan mesra dan baik. 

“Namun, selepas Pakatan Harapan dan Umno mengambil alih (Kerajaan Persekutuan), kami disekat atas alasan politik,” katanya dengan penuh kecewa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, disini, hari ini.

Menurut Mohd Shafizi, wakil rakyat PAS dan PN hanya ingin menyampaikan mesej penting kepada pelajar, seperti kepentingan fokus terhadap pengajian, pemahaman agama, dan kesedaran politik yang membina. 

Beliau turut menegaskan bahawa PAS dan PN tidak berminat untuk berpolitik secara kepartian dalam institusi pendidikan.

“Ramai orang Melayu-Islam hari ini tidak memandang serius politik, sehingga menyebabkan ia dikuasai pihak bukan Islam dan bukan bumiputera. 

“Ini satu masalah besar yang perlu ditangani, dan usaha itu harus bermula dari pusat pengajian,” ujarnya.

Mohd Shafizi juga mengkritik insiden yang berlaku di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di mana Exco kerajaan negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, dibatalkan daripada merasmikan sebuah program di saat-saat akhir atas alasan politik.

“Tindakan ini memalukan, lebih-lebih lagi jika isu ini diketahui oleh pihak luar. 

“Sepatutnya, mereka perlu berpegang kepada janji pilihan raya untuk bersikap adil dan terbuka. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya,” tegasnya.

Beliau turut menyeru golongan pendidik, termasuk guru dan pensyarah, agar menjadi teladan baik kepada pelajar dengan menunjukkan keberanian dalam menghadapi sebarang ketidakadilan.

“Jika kita sebagai pendidik tunduk kepada tekanan dan membiarkan perkara yang salah berlaku, bagaimana pelajar mahu menghormati kita? Keberanian perlu ada, walau dalam apa jua keadaan,” ujarnya lagi.

Mohd Shafizi mengakhiri kenyataannya dengan menasihatkan kerajaan persekutuan supaya melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan tidak menggunakan pendidikan sebagai medan politik sempit.

Tindakan sekatan ini, menurut beliau, bukan sahaja mencemar prinsip demokrasi, tetapi juga memberi contoh buruk kepada generasi muda yang bakal memimpin negara.