Sekolah Agama Akan Dipertahankan - Dr. Khairuddin
Oleh: Nizam at-Takiri
KUALA NERUS, 15 April - Sekolah-sekolah agama seperti pondok, madrasah, dan lain-lain yang merupakan asas pendidikan utama di Malaysia, khususnya di Semenanjung akan terus dipertahankan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, asasnya adalah sekolah-sekolah agama ini telah diwujudkan sebelum zaman penjajahan lagi.
“Dan kita lihat sekolah agama ini wujud sampai ke hari ini dan tidak akan mati usaha dan keringat umat Islam untuk meneruskan usaha membina pusat pendidikan (agama).
"Sekolah-sekolah agama mengajar penulisan, membaca dan menjadi satu pusat ilmu yang rasmi bagi rakyat mendapatkan pendidikan rasmi mereka (pada ketika itu),"katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-undang Islam di Sidang Parlimen, baru-baru ini.
Beliau berkata melalui usaha terdahulu, ia telah melahirkan orang-orang bijak pandai menerusi sekolah-sekolah ini.
"Sehinggalah zaman penjajahan, diwujudkan pula sekolah-sekolah oleh Inggeris yang memindahkan nilai pendidikan itu kepada sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh kerajaan dengan pelbagai sijil yang diberikan," ujarnya.