Sekolah Menengah Islam Darul Iman Dungun Johan Perarakan Maulidur Rasul
Oleh: Che Wan Muhammad Abdul Hanis
DUNGUN, 26 September– Sekolah Menengah Islam Darul Iman Dungun muncul johan bagi perarakan Maulidur Rasul yang diadakan di Masjid Muhajirin, Felda Jerangau, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kejayaan itu mencerminkan kecemerlangan dan semangat Islam yang ditunjukkan oleh para pelajar dan guru.
"Sambutan seperti ini bukan sekadar perayaan tetapi simbol perpaduan masyarakat Islam yang erat.
"Justeru, generasi muda diharap terus memupuk semangat kecintaan terhadap Rasulullah dan nilai-nilai Islam, sekaligus menjadi contoh kepada komuniti yang lebih luas," ujarnya.
Katanya, selain bertujuan meraikan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar, penganjuran perarakan tersebut diharapkan dapat terus mengeratkan silaturahim.
Pertandingan perarakan tersebut menyaksikan penyertaan 15 kontinjen dari pelbagai sekolah dan institusi di kawasan tersebut.
Tempat kedua dimenangi Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Felda Jerangau, manakala tempat ketiga disandang oleh Tadika Kemas Felda Jerangau.