Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Sekolah Pondok Terima Latihan Kemahiran
BESUT, 9 Mac – Selepas Pondok Ibtida’i Ajil, Hulu Terengganu dipilih menyertai program latihan kemahiran untuk peringkat permulaan, Pondok Raudhatul Muhammadi dan Pondok Pasir Akar di Jerteh, Besut juga mengikuti program sama bagi memperkasa kebolehan para pelajar di institusi terbabit.
Timbalan Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan & Pengajian Tinggi Terengganu, Maliaman Kassim berkata, program itu dilaksanakan dengan pembiayaan kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu.
Menurutnya, bagi pelajar dari Pondok Raudhatul Muhammadi, dipilih menyertai program pertanian Lada Solok secara Fertigasi manakala pelajar Pondok Pasir Akar pula mengikuti program latihan kemahiran pendawaian elektrik.
“Inisiatif seumpama itu bakal diperluaskan di kesemua institusi pondok di seluruh negeri secara berperingkat bagi membolehkan setiap pelajar dilengkapi dengan latihan kemahiran sebelum mereka menamatkan pengajian sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
"Pondok juga harus menguasai ilmu-ilmu yang pelbagai. Ilmu agama adalah menjadi tumpuan namun ilmu-ilmu bersifat keduniaan juga wajar dipentingkan. Gabungan ilmu sememangnya dituntut oleh agama. Kita dituntut untuk cemerlang di dunia dan cemerlang juga di akhirat. Ilmu Kemahiran dan segala maklumat yang ada padanya wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja bagi Pemantauan Program Kemahiran Pondok di Pondok Raudhatul Muhammadi dan Pondok Pasir Akar di sini, semalam.
Maliaman berkata,kerajaan negeri telah merangka beberapa usaha untuk memartabatkan institusi pondok pada tempat sewajarnya bagi memperkasakan pelajar berkenaan dalam bidang kemahiran, sekaligus membantu mereka berdikari selepas menamatkan pengajian.
"Pihak kerajaan akan sedaya upaya berusaha membantu institusi ini dalam pelbagai aspek yang difikirkan sesuai,"ujarnya lagi.
Tambah beliau, institusi pondok juga perlu menambah baik prasanana dan kemudahan pengajian, supaya suatu masa nanti sekolah pondok akan mempunyai keupayaan prasarana yang baik dan mampu menjadi contoh kepada institusi pendidikan yang lain.