Sektor Pelancongan Domestik Perlu Diperkasa
KUALA LUMPUR, 23 Februari - Sektor pelancongan perlu diperkasa bagi memastikan sektor ini terus menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, sesuatu perlu dibuat apabila ramai rakyat Malaysia memilih untuk melancong ke luar negara seperti di Hatyai, Thailand dengan kos yang murah berbanding melancong ke Pulau Langkawi.
"Atas dasar bahawa pulau pelancongan itu berkos tinggi, persoalannya, sejauh mana langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan bagi memberikan promosi dan kesedaran kepada rakyat untuk memilih pelancongan domestik berbanding pelancongan luar negara pada ketika ini," soalnya.
Wan Hassan berkata demikian ketika berbahas dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih sempena Titah Diraja Penggal Kedua di Parlimen hari ini.
Seterusnya, beliau turut menyentuh isu hakisan pantai yang berlaku dalam Parlimen Dungun yang turut menjejaskan sektor pelancongan di Dungun.
"Sebagai contoh sejauh kira-kira 10 kilometer dari Pantai Teluk Lipat ke Teluk Gadung di sini yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu kini semakin meruncing hakisan pantai sehingga membimbangkan penduduk," ujarnya.
Katanya lagi, didapati beberapa buah laluan utama turut dilimpahi air laut berikutan ombak laut yang kuat akibat fenomena air pasang besar.
"Oleh itu saya ingin mendapat pencerahan daripada pihak kerajaan apakah status penyelesaian masalah hakisan pantai bagi masa panjang di Parlimen Dungun di bawah program yang dilaksanakan oleh ECERDC.
" Sehubungan itu, besar harapan saya agar segala isu yang saya bangkitkan di dewan rakyat berkaitan sektor pelancongan domestik terutama di Parlimen Dungun mendapat perhatian daripada Kerajaan pada hari ini walaupun berbeza kefahaman politik," ujarnya.