KUALA TERENGGANU, 11 November - Sehingga September 2025, perincian data kerja kosong menunjukkan sektor pembuatan, pendidikan serta perkhidmatan sokongan dan pentadbiran menawarkan kekosongan tertinggi di negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusi, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Ariffin Deraman berkata, sektor pembuatan menjadi sektor tertinggi dengan menawarkan 2,065 kekosongan
"Ia diikuti sektor pendidikan dengan 1,712 kekosongan serta perkhidmatan sokongan dan pentadbiran (1,464).
"Data ini menunjukkan bahawa pada tahun 2025, keperluan tenaga kerja di negeri Terengganu lebih tertumpu kepada sektor perindustrian, pendidikan dan perkhidmatan sokongan dan pentadbiran selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan keperluan kemahiran teknikal di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.