Berita :
Selalu Sapu Sampah Kita, Hari Ini 'Tukang Sapu' Terima Bantuan
Selalu Sapu Sampah Kita, Hari Ini 'Tukang Sapu' Terima Bantuan
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
79

KEMAMAN, 11 Mac  – Setiap hari mereka menyapu jalan, mengutip sampah dan memastikan bandar kekal bersih untuk keselesaan orang ramai, namun, di sebalik tugas itu, tidak ramai yang benar-benar melihat penat lelah yang mereka tanggung.

Hari ini, nasib dan pengorbanan golongan tukang sapu akhirnya diberi perhatian apabila seramai 200 pekerja kebersihan menerima sumbangan wang tunai dan keperluan harian sebagai tanda keprihatinan terhadap jasa mereka.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato’ Hanafiah Mat, dalam satu program khas sebagai penghargaan kepada golongan yang selama ini bekerja di barisan hadapan memastikan persekitaran bandar sentiasa bersih.

Menurut beliau, ramai yang menikmati kebersihan bandar setiap hari, namun tidak semua menyedari betapa besar pengorbanan pekerja kebersihan yang bertungkus-lumus menjalankan tugas.

“Mereka bekerja sejak awal pagi, ada yang sebelum matahari terbit sudah berada di jalanan untuk menyapu dan membersihkan kawasan.

“Tanpa mereka, sukar untuk kita menikmati persekitaran yang bersih dan selesa seperti hari ini,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan tersebut mungkin tidak seberapa, namun diharapkan dapat meringankan sedikit beban mereka, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani bulan Ramadan dan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Suasana program turut menyentuh hati apabila ada dalam kalangan penerima yang kelihatan sebak dan terharu, kerana jarang sekali jasa mereka diberikan perhatian secara terbuka.

Bagi kebanyakan mereka, kerja menyapu jalan bukanlah pekerjaan yang mudah. Di bawah panas terik dan kadangkala hujan, mereka tetap menjalankan tanggungjawab demi memastikan bandar terus bersih.

Hanafiah turut merakamkan penghargaan kepada semua pekerja kebersihan atas komitmen dan keikhlasan mereka dalam menjalankan amanah.

“Terima kasih atas usaha dan pengorbanan yang dicurahkan selama ini. Semoga setiap kerja yang dilakukan dengan niat yang baik dikurniakan ganjaran oleh Allah SWT,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan