KEMAMAN, 18 November - Bacaan selawat dan laungan takbir mengiringi calon PAS-Perikatan Nasional (PN), Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman, sempena hari penamaan calon di sini pada Sabtu.
Beliau tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, dekat sini, jam 8.30 pagi ditemani pimpinan tertinggi parti dan lebih 3,000 penyokong.
Turut kelihatan, beberapa pemimpin PN, antaranya, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.
Difahamkan kedua-dua penyokong hadir seawal jam 6.30 lagi lagi untuk berarak menyokong calon parti masing-masing.
Sementara itu, calon Barisan Nasional, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang tiba tiba kira-kira pukul 8.50 pagi diiringi penyokongnya dan turut berarak kira-kira 500 meter ke pusat penamaan calon.
Raja Mohamed Affandi turut diiringi beberapa pemimpin Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
PRK Parlimen bermula hari ini dengan proses penamaan calon dan diikuti kempen yang berlangsung sehingga proses pengundian pada 2 Disember ini.
Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).