• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

Sembilan Pasukan Sertai Pertandingan Gamelan Tradisional

KUALA TERENGGANU, 27 September- Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu (JKKN) melalui Kelab Kebajikan & Rekreasi Kampung Manir telah menganjurkan Pertandingan Gamelan Melayu Tradisional (Tarian) bertempat di Auditorium JKKN Terengganu, Kuala Ibai, di sini , hari ini.

Sebanyak sembilan buah sekolah mengambil bahagian dengan penyertaan 88 orang pelajar.

Ia terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan, SK. Tengku Ampuan Intan, SK. Sultan Sulaiman 1, SK. Gong Pasir, SK. Tanjung Gelam, SK. (Perempuan) Methodist Kuantan, SK. Tok Jembal, SK. Wakaf Tapai dan SK. Seberang Takir. 

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, sambutan pada tahun ini di luar jangka dengan penyertaan sebanyak sembilan pasukan berbanding lima pasukan pada tahun lalu.

"Mutu gerak tari asas bagi gerak tari Melayu semua peserta pada hari ini dilihat sangat menyerlah. 

"Penyertaan pada tahun ini semestinya memberi saingan yang hebat dan membuat juri yang menilai sukar untuk menentukan para pemenang," ujarnya kepada pemberita selepas pertandingan tersebut.

Turut hadir, Penolong Setiausaha Kanan (Dasar Kebudayaan MOTAC), Salida Ibrahim, Pengarah JKKN, Samsuring Meli serta Pengarah JPNT, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.

Katanya, penganjuran tahun ini memberi penanda aras baharu dalam segmen tarian gamelan Melayu tradisional di Terengganu.